Shahrin shahruddin story 2.

Aku kenali dia di antara dua lapisan daging, hirisan bawang besar, sos lada hitam yang cair dan kepingan roti empuk. Ia adalah perkenalan secara tidak langsung bila aku mengunjungi gerainya beberapa bulan lalu untuk mencuba menu istimewanya yang menjadi bualan hangat orang.

Gerainya memang popular. Waktu beroperasi bermula pada pukul 6 petang tetapi seawal pukul 5 petang lagi, orang ramai sudah mula berbaris di hadapan gerainya. Suasana riuh dan padat memang pengalaman lazim yang boleh dilihat setiap malam di gerainya. Selalunya aku hanya akan datang ke sana di hujung waktu beroperasi semasa pelanggan sudah berkurangan. Aku bukanlah peminat menu istimewanya pun tetapi ada sesuatu pada dia yang buatkan aku datang ke gerainya setiap malam, mengisi perut aku dengan lapisan daging berkuahkan sos lada hitam dan mayonis di antara dua kepingan roti sambil menghirup kopi panas.

"Kadang-kadang aku nampak bisnes jual burger ni bukan boleh untung banyak pun. Tapi banyak juga orang buat. Terutama orang muda. Pelik juga" kata aku pada dia.

Dia ketawa mendengarkan apa yang aku katakan dan menghiris bawang dengan penuh berhati-hati. "Orang buat sesuatu tu bukan selalunya dipandu oleh duit pun. Ada banyak hal lain yang boleh jadi pemangkin"

Lapisan daging mentah diletakkan di atas kuali dan perlahan-lahan bertukar warna.

"Hal lain? Hal lain macam apa?" tanya aku.

"Passion. Semua hal yang dilakukan di muka bumi ni dipandu oleh passion. Buat musik, buat buku, buat bisnes, dan macam-macam hal lagi"

"Jadi, kau dipandu oleh apa bila set up bisnes burger ni? Untung atau passion?"

Dia diam sebentar. Lapisan daging diterbalikkannya di atas kuali dan bau wangi menerawang di udara. Dia pandang aku dan kata "Aku buat semua ni sebab memori"

*

Gerainya tutup sedikit lebih awal malam itu. Peralatan memasaknya sudah pun dibersihkan, meja makan juga sudah dikemas. Tetapi ada sebuah meja lagi yang dibiarkannya yang menempatkan kami berdua. Di meja ada dua cawan kopi hangat dan sepinggan jejari kentang goreng. Dia galak menjamah jejari kentang dan seperti lupa apa yang dia katakan pada aku sebentar tadi. Jadi aku tanya dia, "Memori apa yang buat kau mulakan semua ni?"

Dia jawab soalan aku dengan sebuah soalan yang lain. "Jika kau sedang mengerjakan sesuatu, apa cara terbaik untuk melakukannya?"

"Huh?"

"Aku sungguh cemburu kepada para penulis sebab apa yang mereka kerjakan adalah untuk keabadian. Buku-buku yang mereka tulis, puisi, cerita pendek, dan apa jenis pun yang mereka karang akan hidup selama mana ia dibaca"

"Jadi kau mulakan semua ni sebab memori kau dengan para penulis yang kau minat?"

"Bukan"

"Habis tu?"

"Aku mulakan semua ni disebabkan memori aku dengan teman wanita aku yang lalu"

Katanya, hubungan lalunya tak menjadi. Teman wanitanya berkahwin dengan lelaki lain. Bukan sebab teman wanitanya curang tetapi ia adalah perkahwinan yang diaturkan oleh keluarga teman wanitanya. Teman wanitanya enggan menerima lamaran lelaki lain dan mengajaknya berbincang. Tetapi dia mengalah. Mungkin egonya tercalar bila mengetahui berita itu. Atau mungkin juga dia belum bersedia. Dan dalam bulan May yang panas dan kering pada dua tahun yang lalu, yang kering seperti kelopak mata dari air mata mereka berdua yang telah puas ditangisi, teman wanitanya selamat diijabkabulkan.

"Aku tak datang majlis kahwin dia" kata dia.

"Bagus juga. Yelah mesti susah kau nak lalui semua tu kalau kau datang sana"

"Sebenarnya, aku tak datang sebab aku takut yang sebaliknya akan berlaku. Aku takut sekiranya aku berada di sana masa tu, dia yang tak dapat teruskan"

Kami berdua diam untuk suatu tempoh. Jejari kentang di atas pinggan bertukar sejuk tidak disentuh. Malam ini dingin tapi dia tetap berpeluh. Dia hirup kopi dalam cawannya dan pandang gerainya yang ada di sebelah kiri kami.

"Kami cuma berhubung melalui Facebook selepas tu. Bukan berhubung macam biasa, cuma yelah aku dapat tahu perkembangan hidupnya dan dia dapat tahu perkembangan hidup aku. Aku rasa semuanya okay walaupun dari setiap statusnya yang aku baca, aku dapat subliminal messages yang dia sepertinya masih rindukan aku"

"Facebook memang tempat yang sempit untuk dua orang yang saling merindu" kata aku pada dia. Dia tersengih mendengarkannya.

"Lepas tu aku deactivate account aku dan teruskan bisnes ni" Sekotak tar dan nikotin dikeluarkannya dari kocek seluar. Sebatang daripadanya dibakar dan asap tar dan nikotin berkepul kepul naik ke udara. Dia hulurkannya pada aku. Aku menolak.

"Aku masih tak nampak macam mana hubungan lalu kau tu jadi sebab kau buat bisnes ni" soal aku.

Dia senyum dan biarkan soalan aku tak berjawab untuk beberapa ketika. "Dia suka makan burger yang tak ada bawang. Aku juga sama. Pernah sekali aku belikan dia burger yang ada bubuh bawang. Dia menolak. Masa tu aku dah makan separuh burger aku yang tak ada bubuh bawang. Jadi aku beri dia burger aku yang dah separuh tu dan dia ambil dengan penuh teruja. Aku tak pernah nampak dia begitu teruja macam tu. Entah mungkin sebab burger tu tak ada bawang atau sebab ia datang dari mulut aku. Aku rasa itu adalah momen yang paling aku tak boleh lupa. Mungkin sebab aku mulakan semua ni sebab aku nak momen tu jadi abadi bila orang datang beli apa yang aku jual dan teruja bila menikamatinya"

"Macam dia?"

"Ya, macam dia" dia jawab.

Kemudian, aku minta diri memandangkan malam sudah terlalu lewat. Aku ucap terima kasih pada dia dan dia ucap terima kasih kembali pada aku untuk perkongsian malam ini. Aku lihat senyuman yang dipamerkannya lebih manis berbanding yang biasa yang aku selalu lihat.

Dalam perjalanan pulang, apa yang kami bualkan tadi bermain dalam kepala aku. Mungkin dia lakukan semua ini untuk sebuah pengabdian memori. Atau mungkin juga dia lakukan semua ini untuk menghukum diri sendiri yang tidak berjuang dan melawan pada waktu lalu.

Bungkusan kertas yang mengandungi menu istimewanya yang ada dalam beg plastik yang aku pegang aku perhatikan. Walaupun apa kemungkinan yang ada, dan orang selalu berkata orang tak akan bercinta untuk selamanya, yang pasti cinta telah mengubah kita semua.

*cerita pendek ini adalah sebuah tribute.

*************************************

Cerita ini muncul setelah semalam aku menulis utk dia tuan. Aku suka cerita dia dan burger.mengingatkan aku pada seseorang yg bernama 'tuan' juga.
'Tuan burger.'
Cerita ini Mungkin mngisahkan ttg Tuan Burger "J".
Dan tuan burger 'J' pernah berkongsi crta yg sma dgn aku suatu ketika dlu..

  Memori pada burger hanya memori,apa pun yg kau lakukan,aku doakan semoga kau sukses di antara dua lapisan daging, hirisan bawang besar, sos lada hitam yang cair dan kepingan roti empuk itu. :)

Comments